Friday, October 11, 2019

Belajar Melalui Bermain 4

Published on 10:00 AM 0 Comments Labels : ,

Friday, October 11, 2019

6.Permainan Kreatif

Permainan kreatif merujuk kepada permainan yang menggunakan imaginasi dan reka cipta. Kanak-kanak digalakkan untuk mencipta permainan sendiri daripada alat dan bahan persekitaran. Permainan dalam kategori ini termasuk juga main peranan dan olok-olok yang akan membantu kanak-kanak memahami antara fantasi dengan realiti. Kanak-kanak digalakkan menggunakan pelbagai bahan dan membuat pergerakan mengikut idea dan minat masing-masing. Kanak-kanak memilih sendiri peranan yang disukai dan melakonkan watak tersebut. Contohnya, apabila kanak-kanak berada di sudut main masak-masak, mereka akan melakonkan watak seperti ibu, anak atau watak lain yang bersesuaian dalam suasana sebuah restoran atau rumah. 

Untuk menjadikan drama dan main peranan lebih bermakna dan interaktif, pendidik/ pengasuh boleh turut serta beraksi dalam situasi yang dimainkan oleh kanak-kanak, dan mencabar minda mereka dengan bertanyakan soalan terbuka. Lakonan dan main peranan dapat memberikan keseronokan dan meingkatkan konsep kendiri serta keyakinan diri kanak-kanak, di samping dapat menyuburkan sahsiah dan kemahiran sosial kanak-kanak. Melalui cabaran dalam permainan, kanak-kanak akan berusaha untuk menghasilkan sesuatu reka cipta atau menyelesaikan masalah. Di antara permainan kreatif yang boleh dijalankan oleh kanak-kanak ialah permainan mencari harta karun. 

7.Permainan Kognitif

Permainan kognitif melibatkan pemikiran logik dan penyelesaian masalah dan pembelajaran awal matematik. Contohnya seperti permainan domino yang memerlukan kanak-kanak belajar memadan, permainan blok dan permainan binaan. Melalui permainan ini, kanak-kanak akan belajar membuat pengelasan dan perbandingan. Kanak-kanak juga akan dapat membina perbendaharaan kata seperti kecil dan besar. Dalam permainan air pula, kanak-kanak mempelajari konsep awal matematik dan konsep sains seperti kosong, penuh, sebelum, selepas, cetek, dalam, berat dan ringan. 

Banyak permainan kognitif lain yang membolehkan kanak-kanak pelajari kuantiti, padanan satu sama lain, dan membilang. Contohnya, dalam permainan congkak. Kanak-kanak akan belajar konsep nombor dan urutan, dalam permainan teng-teng. Dalam permainan jual beli pula, kanak-kanak akan pelajari konsep wang dan membilang nilai wang.

8.Permainan Tradisional

Permainan tradisional mengandungi banyak tersirat, tertutama dari segi kerjasama dan mengikut peraturan mudah. Seperkara lagi, kebanyakan permainan ini adalah permainan luar bangunan. Ia sebagai  cara supaya kanak-kanak dan pendidik/pengasuh terlibat aktif dengan permainan luar kelas dan tidak hanya tertumpu bermain dalam kelas dan kurang aktif. 

Melalui permainan tradisional, kanak-kanak akan belajar nilai murni yang terdapat dalam permainan ini yang membantu perkembangan sahsiah, nilai dan kerohanian mereka. Contoh permainan bermain baba cak, main sorok-sorok, main kejar-kejar, main congkak, main teng-teng, bermain pukul berapa datuk harimau dan jan-jan jala. Daripada permainan ini, kanak-kanak dapat belajar bekerjasama, melindungi rakan, mengambil giliran, ekspresi diri, bertolak ansur dan bersabar.

Permainan tradisional juga berupaya menyokong kesemua enam bidang perkembangan pembelajaran PERMATA.

0 comments:

Post a Comment

© 2014 - Layout by Min Lovelyifan specially for PintarSiCilik