Sunday, October 13, 2019

Belajar Melalui Bermain 2

Published on 5:30 PM 0 Comments Labels : ,

Sunday, October 13, 2019

2.Permainan Manipulatif

Permainan manipulatif ialah permainan yang melibatkan kanak-kanak memanipulasi bahan atau objek semasa bermain. Kaedah bermain dengan barang mainan menggalakkan kanak-kanak melahirkan idea, fantasi dan kreativiti sendiri. Ini akan memberikan keseronokan dan meningkatkan daya tumpuan dan perhatian kanak-kanak. Jenis permainan manipulatif yang boleh dirancang untuk kanak-kanak ialah permainan blok dan binaan, puzzle, menguntai manik, bermain bahan dari persekitaran seperti main kayu, ranting dan lain-lain.

Untuk menjadikan aktiviti ini lebih bermakna, pendidik/pengasuh boleh membimbing dan memberi "scaffolding" kanak-kanak semasa mereka bermain. Dengan menyediakan pelbagai bahan dan peralatan manipulatif serta berbual-bual tentang apa yang mereka lakukan dapat memberi galakan kepada kanak-kanak mencetuskan idea dan reka cipta.

3. Permainan Fizikal

Permainan fizikal adalah salah satu daripada aktiviti harian yang dijalankan di TASKA sama ada diluar atau di dalam bangunan. Permainan tersebut melibatkan pergerakan fizikal yang membolehkan kanak-kanak menggunakan tenaga dan meneroka ruang luar kelas. Ini satu peluang untuk meningkatkan kemahiran motor kasar dan juga motor halus, koordinasi deria dan menyumbang kepada kesihatan dan kecergasan tubuh badan kanak-kanak. Permainan fizikal di luar kelas juga dapat memberi peluang kanak-kanak memahami dunia persekitaran melalui penerokaan, pemerhatian dan juga pengalaman. 

Diluar kelas, kanak-kanak mencuba keberanian untuk memanjat, menjerit, menyanyi dan meluahkan perasaan. Kajian juga membuktikan bahawa permainan luar kelas dapat mengurangkan masalah obesiti kanak-kanak. Permainan fizikal ialah merangkak dalam terowong, melompat tali, berlari dan mengejar, main gelongsor, main buaian, memanjat pokok, meniti jambatan, menendang bola, mengayuh basikal dan lain-lain lagi. Permainan yang boleh meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak ialah seperti mengoyak, mengguli, menconteng, merantai manik dan sebagainya.
Permainan fizikal perlu dijalankan setiap hari, terutama permainan yang melibatkan kemahiran motor kasar dengan memperuntukkan masa bermain fizikal di dalam jadual harian di TASKA. Kaedah ini dapat menyeimbangkan antara aktiviti dalam dengan luar kelas serta permainan aktif dan pasif untuk kecergasan kanak-kanak.

0 comments:

Post a Comment

© 2014 - Layout by Min Lovelyifan specially for PintarSiCilik