Monday, October 14, 2019

Belajar Melalui Bermain 1

Published on 12:00 AM 0 Comments Labels : ,

Monday, October 14, 2019

Bermain ialah kerja kanak-kanak. Pendekatan BELAJAR MELALUI BERMAIN merupakan kaedah yang paling berkesan untuk menggalakkan pembelajaran kanak-kanak. Bermain menjadikan kaedah utama yang menjadi teras kepada semua proses pembelajaran merangkumi bidang pembelajaran PERMATA. Bermain merupakan fitrah kanak-kanak yang melibatkan pengalaman langsung mengendali dan memanipulasi alat mainan dan bahan dalam persekitarannya. 
Anda perlu memahami tajuk ini kerana dengan bermain, kanak-kanak akan dapat:

  • meluahkan perasaan dan rasa gembira yang boleh mengurangkan tekanan
  • melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti dan dapat menyelesaikan masalah 
  • membentuk sahsiah diri yang positif melalui kerjasama, berkongsi, mengikut aturan, berinisiatif, sukarela serta berkeyakinan diri
  • mengembangkan kemahiran deria dan motor
  • meningkatkan kecergasan badan dan mengurangkan tenaga berlebihan
  • mengimbangkan aktiviti pasif dan aktif dan menanam tabiat suka melakukan aktiviti fizikal
  • mengukuhkan kebolehan kognitif seperti membuat pengelasan, meramal, membanding dan mengenalpasti sebab-akibat.

Terdapat beberapa jenis permainan yang boleh diaplikasikan dalam pembelajaran PERMATA. Antaranya ialah;

  1. Permainan Bebas
  2. Permainan Manipulatif
  3. Permainan Fizikal
  4. Permainan Bahasa
  5. Permainan Sensori
  6. Permainan Kognitif
  7. Permainan Kreatif
  8. Permainan Tradisional
1.Permainan Bebas

Permainan bebas ialah permainan berdasarkan pilihan kanak-kanak. Kanak-kanak diberi peluang untuk memilih barang permainan dan sudut yang disukai oleh mereka. Permainan bebas memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka, mengeskperimen, memperkembangkan kreativiti. Permainan bebas dapat meningkatkan kebolehan dalam bidang yang diminati mereka. Contohnya, kanak-kanak memilih bermain blok untuk menghasilkan binaan atau bermain alat muzik untuk menghasilkan bunyi yang disukainya.

Permainan bebas merupakan salah satu peluang memupuk potensi kecerdasan tertentu kerana di ruang bermain inilah kanak-kanak akan bermain mengikut minatnya sendiri. Pendidik/Pengasuh berperanan menyediakan alat mainan dan sudut permainan yang sesuai serta merangsang dan menggalakkan kanak-kanak untuk mencipta rekaan baharu dalam permainan bebas.





Sunday, October 13, 2019

Belajar Melalui Bermain 2

Published on 5:30 PM 0 Comments Labels : ,

Sunday, October 13, 2019

2.Permainan Manipulatif

Permainan manipulatif ialah permainan yang melibatkan kanak-kanak memanipulasi bahan atau objek semasa bermain. Kaedah bermain dengan barang mainan menggalakkan kanak-kanak melahirkan idea, fantasi dan kreativiti sendiri. Ini akan memberikan keseronokan dan meningkatkan daya tumpuan dan perhatian kanak-kanak. Jenis permainan manipulatif yang boleh dirancang untuk kanak-kanak ialah permainan blok dan binaan, puzzle, menguntai manik, bermain bahan dari persekitaran seperti main kayu, ranting dan lain-lain.

Untuk menjadikan aktiviti ini lebih bermakna, pendidik/pengasuh boleh membimbing dan memberi "scaffolding" kanak-kanak semasa mereka bermain. Dengan menyediakan pelbagai bahan dan peralatan manipulatif serta berbual-bual tentang apa yang mereka lakukan dapat memberi galakan kepada kanak-kanak mencetuskan idea dan reka cipta.

3. Permainan Fizikal

Permainan fizikal adalah salah satu daripada aktiviti harian yang dijalankan di TASKA sama ada diluar atau di dalam bangunan. Permainan tersebut melibatkan pergerakan fizikal yang membolehkan kanak-kanak menggunakan tenaga dan meneroka ruang luar kelas. Ini satu peluang untuk meningkatkan kemahiran motor kasar dan juga motor halus, koordinasi deria dan menyumbang kepada kesihatan dan kecergasan tubuh badan kanak-kanak. Permainan fizikal di luar kelas juga dapat memberi peluang kanak-kanak memahami dunia persekitaran melalui penerokaan, pemerhatian dan juga pengalaman. 

Diluar kelas, kanak-kanak mencuba keberanian untuk memanjat, menjerit, menyanyi dan meluahkan perasaan. Kajian juga membuktikan bahawa permainan luar kelas dapat mengurangkan masalah obesiti kanak-kanak. Permainan fizikal ialah merangkak dalam terowong, melompat tali, berlari dan mengejar, main gelongsor, main buaian, memanjat pokok, meniti jambatan, menendang bola, mengayuh basikal dan lain-lain lagi. Permainan yang boleh meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak ialah seperti mengoyak, mengguli, menconteng, merantai manik dan sebagainya.
Permainan fizikal perlu dijalankan setiap hari, terutama permainan yang melibatkan kemahiran motor kasar dengan memperuntukkan masa bermain fizikal di dalam jadual harian di TASKA. Kaedah ini dapat menyeimbangkan antara aktiviti dalam dengan luar kelas serta permainan aktif dan pasif untuk kecergasan kanak-kanak.

Saturday, October 12, 2019

Belajar Melalui Bermain 3

Published on 12:00 PM 0 Comments Labels : ,

Saturday, October 12, 2019

4.Permainan Bahasa 

Aktiviti permainan bahasa menggalakkan kanak-kanak berkomunikasi, bertutur dan mendengar melalui permainan seperti perbualan, bercerita, tunjuk dan cerita(show and tell), mainan teka teki, berpantun, rythming, dan berdrama setelah mendengar cerita daripada pendidik/pengasuh atau meniru tingkah laku yang diperhatikan. Bersama bayi, pendidik/pengasuh boleh bermain sorok objek dan seterusnya boleh menyebut objek tersebut. Contoh lain, iaitu permainan menyambung cerita dan main sep-sep.

5.Permainan Sensori

Permainan sensori merupakan permainan yang melibatkan penggunaan deria kanak-kanak seperti deria dengar, lihat, sentuh, dan rasa. Permainan sensori banyak tertumpu kepada bayi dan kanak-kanak kecil. Aktiviti permainan  sensori bayi ialah permainan berkaitan tekstur dan berbunyi apabila disentuh. Contoh permainan tersebut ialah kereta mainan yang mengeluarkan bunyi apabila disentuh dan permainan ketuk-ketuk seperti tukul, buku, bola dan permainan yang pelbagai bentuk warna dan tekstur. Permainan muzik dan gendang juga ialah permainan yang membolehkan kanak-kanak menikmati pelbagai bunyi dan membezakan bunyi tersebut. Semua ini akan memberi rangsangan kepada deria mereka. 

Permainan sensori ini akan meningkatkan kebolehan kawalan, jari dan kepekaan deria sentuh kanak-kanak. Contoh, permainan kanji, main pasir dan main air.

MAIN PASIR;
Aktiviti penerokaan dan eksperimen semasa bermain pasir:
  • menggali, mencurah, menapis dan menceduk pasir
  • membina istana pasir, menggali terowong atau membina zoo
  • mengisi pasir ke dalam bekas, corong atau botol
  • menulis dan melukis di atas permukaan pasir
  • membuat pelbagai bentuk, dengan tangan atau acuan seperti cawan, mangkuk, sudu dan penutup botol
MAIN AIR:
Aktiviti dan eksperimen semasa bermain air adalah seperti berikut:
  • menuang, menceduk, memerah air ke dalam bekas
  • menebuk beberapa lubang keliling botol dan masukkan air
  • membasuh buah-buahan, pakaian, sayur-sayuran dan peralatan permainan yang digunakan oleh mereka
  • mengeksperimenkan bahan tenggalam,timbul dan terapung
  • menguji bahan larut dan tidak larut - gula; garam; tepung; pasir
  • mengecat warna menggunakan bahan serap air dan tidak serap air
  • menyediakan air minuman seperti sirap, susu dan kopi
  • mengalami fenomena air berpusar, mengalir, berkocak, memercik, melimpah, memenuhi bekas dan bertukar warna

Friday, October 11, 2019

Belajar Melalui Bermain 4

Published on 10:00 AM 0 Comments Labels : ,

Friday, October 11, 2019

6.Permainan Kreatif

Permainan kreatif merujuk kepada permainan yang menggunakan imaginasi dan reka cipta. Kanak-kanak digalakkan untuk mencipta permainan sendiri daripada alat dan bahan persekitaran. Permainan dalam kategori ini termasuk juga main peranan dan olok-olok yang akan membantu kanak-kanak memahami antara fantasi dengan realiti. Kanak-kanak digalakkan menggunakan pelbagai bahan dan membuat pergerakan mengikut idea dan minat masing-masing. Kanak-kanak memilih sendiri peranan yang disukai dan melakonkan watak tersebut. Contohnya, apabila kanak-kanak berada di sudut main masak-masak, mereka akan melakonkan watak seperti ibu, anak atau watak lain yang bersesuaian dalam suasana sebuah restoran atau rumah. 

Untuk menjadikan drama dan main peranan lebih bermakna dan interaktif, pendidik/ pengasuh boleh turut serta beraksi dalam situasi yang dimainkan oleh kanak-kanak, dan mencabar minda mereka dengan bertanyakan soalan terbuka. Lakonan dan main peranan dapat memberikan keseronokan dan meingkatkan konsep kendiri serta keyakinan diri kanak-kanak, di samping dapat menyuburkan sahsiah dan kemahiran sosial kanak-kanak. Melalui cabaran dalam permainan, kanak-kanak akan berusaha untuk menghasilkan sesuatu reka cipta atau menyelesaikan masalah. Di antara permainan kreatif yang boleh dijalankan oleh kanak-kanak ialah permainan mencari harta karun. 

7.Permainan Kognitif

Permainan kognitif melibatkan pemikiran logik dan penyelesaian masalah dan pembelajaran awal matematik. Contohnya seperti permainan domino yang memerlukan kanak-kanak belajar memadan, permainan blok dan permainan binaan. Melalui permainan ini, kanak-kanak akan belajar membuat pengelasan dan perbandingan. Kanak-kanak juga akan dapat membina perbendaharaan kata seperti kecil dan besar. Dalam permainan air pula, kanak-kanak mempelajari konsep awal matematik dan konsep sains seperti kosong, penuh, sebelum, selepas, cetek, dalam, berat dan ringan. 

Banyak permainan kognitif lain yang membolehkan kanak-kanak pelajari kuantiti, padanan satu sama lain, dan membilang. Contohnya, dalam permainan congkak. Kanak-kanak akan belajar konsep nombor dan urutan, dalam permainan teng-teng. Dalam permainan jual beli pula, kanak-kanak akan pelajari konsep wang dan membilang nilai wang.

8.Permainan Tradisional

Permainan tradisional mengandungi banyak tersirat, tertutama dari segi kerjasama dan mengikut peraturan mudah. Seperkara lagi, kebanyakan permainan ini adalah permainan luar bangunan. Ia sebagai  cara supaya kanak-kanak dan pendidik/pengasuh terlibat aktif dengan permainan luar kelas dan tidak hanya tertumpu bermain dalam kelas dan kurang aktif. 

Melalui permainan tradisional, kanak-kanak akan belajar nilai murni yang terdapat dalam permainan ini yang membantu perkembangan sahsiah, nilai dan kerohanian mereka. Contoh permainan bermain baba cak, main sorok-sorok, main kejar-kejar, main congkak, main teng-teng, bermain pukul berapa datuk harimau dan jan-jan jala. Daripada permainan ini, kanak-kanak dapat belajar bekerjasama, melindungi rakan, mengambil giliran, ekspresi diri, bertolak ansur dan bersabar.

Permainan tradisional juga berupaya menyokong kesemua enam bidang perkembangan pembelajaran PERMATA.
© 2014 - Layout by Min Lovelyifan specially for PintarSiCilik