Anda perlu memahami tajuk ini kerana dengan bermain, kanak-kanak akan dapat:
- meluahkan perasaan dan rasa gembira yang boleh mengurangkan tekanan
- melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti dan dapat menyelesaikan masalah
- membentuk sahsiah diri yang positif melalui kerjasama, berkongsi, mengikut aturan, berinisiatif, sukarela serta berkeyakinan diri
- mengembangkan kemahiran deria dan motor
- meningkatkan kecergasan badan dan mengurangkan tenaga berlebihan
- mengimbangkan aktiviti pasif dan aktif dan menanam tabiat suka melakukan aktiviti fizikal
- mengukuhkan kebolehan kognitif seperti membuat pengelasan, meramal, membanding dan mengenalpasti sebab-akibat.
Terdapat beberapa jenis permainan yang boleh diaplikasikan dalam pembelajaran PERMATA. Antaranya ialah;
- Permainan Bebas
- Permainan Manipulatif
- Permainan Fizikal
- Permainan Bahasa
- Permainan Sensori
- Permainan Kognitif
- Permainan Kreatif
- Permainan Tradisional
1.Permainan Bebas
Permainan bebas ialah permainan berdasarkan pilihan kanak-kanak. Kanak-kanak diberi peluang untuk memilih barang permainan dan sudut yang disukai oleh mereka. Permainan bebas memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka, mengeskperimen, memperkembangkan kreativiti. Permainan bebas dapat meningkatkan kebolehan dalam bidang yang diminati mereka. Contohnya, kanak-kanak memilih bermain blok untuk menghasilkan binaan atau bermain alat muzik untuk menghasilkan bunyi yang disukainya.
Permainan bebas merupakan salah satu peluang memupuk potensi kecerdasan tertentu kerana di ruang bermain inilah kanak-kanak akan bermain mengikut minatnya sendiri. Pendidik/Pengasuh berperanan menyediakan alat mainan dan sudut permainan yang sesuai serta merangsang dan menggalakkan kanak-kanak untuk mencipta rekaan baharu dalam permainan bebas.